Data Tumbuhan

Merunggai (Moringa oleifera)


Kelor/ Drumstick Tree
(Moringa oleifera)
MORINGACEAE
  • Turut dikenali sebagai Kelor, Merunggai, Ramunggai, Rembugai, Lembugai, Kacang Kelur, Drumstcik Tree, Horseradish Tree, Ben Oil Tree, Benzoil Tree.
  • Kaya dengan pelbagai khasiat, vitamin dan mineral dan boleh dikatakan sebagai sumber makanan lengkap di zaman darurat.
  • Seluruh tanaman digunakan untuk rawatan tradisional.
  • Ternakan yang diberi daun kelor juga mempunyai kesihatan yang lebih baik serta menghasilkan daging yang lebih sedap. 

  • Ditanam secara biji tetapi lebih kerap ditanam secara keratan dahan yang dicucuk terus di tapak tanaman. 
  • Daun majmuk terbahagi 2 atau 3 helai daun kecil dan banyak pada setiap daun. 

  • Bunga kecil dalam jambak yang besar, berwarna putih atau kuning muda dan berbau wangi.

Artikel dari http://seribupilihan.blogspot.my/2012/06/kacang-merunggai-dikenali-pokok-ajaib.html


  • KACANG merunggai terkenal sebagai makanan kegemaran masyarakat India yang kaya dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecergasan tubuh. Berasal dari keluarga tumbuhan Moringaceae, ia juga dikenali dengan nama kacang kelur, rembungai dan lembungai di kalangan masyarakat setempat. 
  • Ia ditanam secara meluas di beberapa negara seperti di India, Ethiopia, Filipina, Sudan, Africa Selatan, Timur dan Barat, Asia, Amerika Latin, Kepulauan Caribbean, Florida dan Kepulauan Pasifik. Merunggai atau nama saintifiknya Moringa oleifera berasal dari India, Pakistan dan Afghanistan; dan tumbuhan itu mampu mencapai ketinggian sehingga 10 meter dan ia sesuai ditanam di tanah kering serta berpasir. 
  • Pohon itu turut dikenali sebagai ‘pokok ajaib’ oleh pengkaji Barat kerana khasiatnya yang mengagumkan dan memberi banyak manfaat kepada manusia. Walaupun ia mempunyai pelbagai kelebihan, khasiat merunggai kurang diketahui masyarakat Melayu, mungkin kerana ia bukan berasal dari negara ini. Pertubuhan dari negara Barat membuat kajian teliti terhadap pokok itu hingga menggelarnya ‘pokok kehidupan’ dan mengguna pakai pokok merunggai untuk menolong rakyat miskin. 
  • Merunggai juga dikenali sebagai sumber vitamin atau makanan tambahan termurah kerana ia mampu memberi zat untuk menjaga kesihatan tubuh badan seseorang. Ia mengandungi khasiat vitamin A yang lebih tinggi daripada lobak merah, lebih banyak zat besi daripada bayam, lebih banyak vitamin C daripada limau, lebih banyak kalsium daripada susu, lebih banyak kalium (potassium) daripada pisang dan kualiti proteinnya setanding telur dan susu serta mudah dihadam. Semua bahagian pokok itu boleh dimakan dan berguna namun tidak digalakkan memakan akarnya kerana ia mengandungi alkaloid spirochin, iaitu bahan yang mampu melumpuhkan sistem saraf. 
  • Daun pokok merunggai segar boleh dimasak pelbagai cara manakala daun yang sudah kering boleh disimpan lama tanpa hilang khasiat. Buah merunggai muda boleh dimasak seperti sayur dan bijinya pula boleh dimasak atau dipanggang, Minyak merunggai digunakan untuk menaikkan rasa salad dan bunganya pula boleh dimakan selepas dimasak. 
  • Minyak biji merunggai mempunyai kandungan antara 30 hingga 40 peratus minyak yang dikenali sebagai ‘Ben Oil’ yang turut digunakan dalam minyak wangi dan perubatan. Minyaknya tidak melekat dan digunakan untuk peralatan serta jentera halus. 
  • Sungguh mengagumkan apabila bijinya yang sudah dikisar sehingga menjadi serbuk boleh digunakan untuk merawat air menggantikan aluminium sulfat, seperti yang dilakukan di kawasan pedalaman Indonesia di mana air dari kawasan tanah gambut dirawat menggunakan biji meruggai. 
  • Daun dan sisa biji merunggai selepas diambil minyaknya juga boleh digunakan sebagai makanan ternakan, selain bahan kelat daripada batang pokoknya boleh digunakan untuk perusahaan kulit serta pembuatan gam. 
  • Semua bahagian pokok berkenaan mempunyai khasiat perubatan seperti mampu menstabilkan tekanan darah, mengawal kadar glukos dalam darah, meningkatkan ketahanan badan. 
  • Ia juga mampu merawat cirit-birit, bengkak dalam usus, parasit dalam perut, sengal tulang, sakit sendi, gout, sakit kerongkong, jangkitan saluran kencing dan kurang darah. 
  • Merunggai mempunyai sifat anti kuman, termasuk bakteria Helicobacter pylori yang menyebabkan sakit ulser dan gastrik, serta anti bengkak. Benihnya mengandungi minyak yang tidak berbau, glycerides oileic, asid stearik dan palmitik.
  • Bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan, amalan memakan tumbuhan semula jadi seperti merunggai boleh memberi segala zat yang diperlukan tubuh tanpa mengharapkan makanan tambahan yang mahal. Pokok berkenaan begitu mudah untuk ditanam iaitu dengan mengambil satu ranting atau dahannya dan cucuk ke dalam tanah serta disiram atau dibaja sekali-sekala.


Artikel 2 dari http://baca-blogspot.blogspot.my/2012/02/khasiat-merunggai.html


  • Seluruh bahagian pokok terutamanya daun digunakan sebagai herba untuk melawaskan pembuangan air kecil, membantu penghadaman, penawar keracunan darah dan ubat salap. 
  • Biji dijadikan minyak untuk gout atau rheumatisme. 
  • Daun ditumbuk lumat ditampal atas perut untuk mengeluarkan cacing. 
  • Akar direbus dan diminum sebagai tonik, merangsang haid, penawar racun, penawar penyakit kulit, selsema, kurang daya fizikal, skurvi dan tonik paru-paru. 
  • Pokok ini berasal dari India dan ia tumbuh liar di kawasan utara India tetapi ditanam juga sejak dahulu kala. Kini pokok ini banyak ditanam dipelbagai kawasan Tropika dan Subtropika. 
  • Buah muda, buah matang yang belum keras dan daun merunggai sering dibuat lauk, biasanya dimasak kari atau digoreng seperti sayur. Buah merunggai biasanya dikaitkan dengan orang India kerana kaum India yang biasa menanam pokok merunggai. 
  • Di India, kari merungggai di tin dan dieksport. Biji muda merunggai boleh dimasak seperti kacang pea dan bijinya yang matang juga dipangggang seperti kacang goreng. 
  • Orang Filipina juga memakan dan menanam merunggai. 
  • Orang Bahamas dan Jamaica meminum air rebusan daun merunggai seperti meminum teh atau kopi. 
  •  Akar merunggai mengandungi sejenis glukosit yang menghasilkan rasa pedas seperti biji sawa atau lobak putih. Akar merunggai boleh dibuat sos seperti sos lobak kuda yang tulin. 
  • Ranting, daun, bungan dan buah juga boleh digunakan sebagai perisa tetapi tidak kuat seperti akar. Merunggai mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional. 
  • Daun merunggai dikatakan boleh mengubati buah dada yang bengkak, terutama dikalangan ibu yang baru bersalin. Akarnya ditumbuk dan disapu kepada perut ibu yang baru bersalin sebagai bebat memulihkan badan ibu. 
  • Makanan dari daun dan buah merunggai boleh bertindak sebagai pelawas sembelit. Daun dan akar merunggai dikatakan boleh mengubati sifilis dan busung darah. Sementara daunnya dimakan untuk mengubati penyakit gonorea. 
  • Walau bagaimanapun terlalu banyak memakan akar merunggai dikatakan boleh menggugurkan anak dalam kandungan. 
  •  Dalam perubatan India, akar merunggai digunakan sebagai ubat sapu pada bengkak atau bisul yang dalam. Sementara daunnya digunakan sebagai penawar gigitan anjing, muntah-muntah dan untuk mengurangkan aliran susu ibu. 
  • Di Jawa, akar merunggai digunakan untuk mengubati rasa kebas, penyakit beri-beri dan pelbagai penyakit kulit. Batang pokok yang luka akan mengeluarkan sejenis gam yang berguna sebagai ubat di India dan Jawa. 
  • Orang India menggunakannya untuk mengubati kelenjar yang bengkak dan orang Jawa menggunakannnya untuk mengubati sakit usus. 
  • Di kawasan Amerika Tengah terutama di Curacao, akar merunggai di cuci bersih dan cecair dalam akar dihisap dan ia dikatakan boleh menjadi penawar selesema. 
  • Di sesetengah negara lain, kulit dan akar yang dihancurkan dijadikan ubat sapu, bijinya dibancuh seperti teh dan diminum untuk melegakan demam panas dan juga sebagai pelawas buang air besar. Ada juga yang menggunakan akar kering sebagai penawar untuk mengubati penyakit malaria dan penyakit buah pinggang. 
  • Orang Puerto Rico memakan daun merunggai sebagai pelawas buang air besar. 
  • Di Bahamas, air rebusan bunga merunggai dicampur dengan limau nipis sebelum diminum juga untuk sebagai pelawas buang air besar. 
  • Orang Aruba menghancurkan biji merunggai dan menyapukannya pada badan yang ada ketuat untuk menghilangkan ketuat itu. 
  • Di Venezuela, air rebusan daun dan biji merunggai boleh diminum sebagai julap dan untuk mengeluarkan cacing yang ada di dalam perut dan usus. 
  • Orang Curacao merendam akar yang telah dihancurkan didalam rum dan digunakan sebagai ubat sapu bagi menyembuhkan sakit otot jenis reumatisme. 
  •  Buah merunggai juga mempunyai kegunaan dalam istiadat kepercayaan tradisional iaitu bagi menghalau hantu. Jika ada orang yang dirasuki hantu, kepalanya atau badannya disebat dengan merunggai segar untuk menghalau hantu keluar dari badan mangsa dan meninggalkan tempat itu. 
  • Biji merunggai didapati mengandungi minyak yang boleh digunakan untuk memasak, membuat sabun dan sebagai minyak pelincir mesin. Ia juga adalah digunakan sebagai minyak asas bagi minyak wangi. Minyak ini sesuai untuk campuran salad dan ia jernih dan tidak berbau. Minyak ini jika terbakar akan mengeluarkan api yang terang dan tidak berasap. 
  • Walau bagaimanapun, kegunaan merunggai sebagai bahan ubatan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Kulit kayu merunggai mengandungi B-sitosterol dan beberapa jenis alkaloid. Daun segar yang dihancurkan dan disapu pada kulit jika berlebihan akan menyebabkan kulit berasa gatal dan di peringkat yang ekstrem boleh melecurkan kulit.