Data Tumbuhan

Potensi Herba dan Ulam-ulaman

Petikan dari Artikel:
Kerajaan galak rakyat menanam ulam-ulaman
http://berita.perak.gov.my/Disember/ulam.jpg

ORANG Melayu amat gemar ulam-ulaman semasa makan nasi. Jika tiada ulam-ulaman ianya seolah-olah tidak sempurna hidangan pada hari tersebut. Terdapat pelbagai jenis ulam pembuka selera seperti jering, petai, pucuk pasuk, pegaga, daun putat, ulam raja dan sebagainya.

Ulam-ulaman biasanya banyak terdapat di kawasan kampung sama ada ditanam atau tumbuh sendiri di hutan-hutan yang berhampiran. Apabila pembangunan rancak dilaksanakan, banyak kawasan hutan diteroka sekali gus menyebabkan ulam-ulaman turut pupus. Berikutan itu, ulam-ulaman sukar diperolehi di kampung-kampung dan pasar-pasar termasuk pasar tani.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Mohd Tajol Rosli Ghazali menyarankan petani-petani dan penduduk kampung termasuk Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPNP) mengambil inisiatif menanam ulam-ulaman seberapa banyak di persekitaran kampung.

Beliau juga meminta PPNP mempelopori usaha menanam ulam-ulaman di atas tanah milik mereka. Sehubungan dengan itu, Menteri Besar mencadangkan kepada PPNP supaya mencari tanah yang mempunyai keluasan 4-8 hektar untuk ditanam dengan ulam-ulaman bagi menjamin bekalannya tidak terjejas termasuk ke bandar-bandar besar seperti Ipoh.

“Kita mahu ulam-ulaman terus menjadi hidangan berterusan tidak saja pada kita tetapi kepada generasi akan datang,’’ katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PPNP ke-24 di Ipoh.

Katanya, pada masa ini ulam-ulaman seperti bunga kantan sukar diperolehi kerana bekalannya amat terhad. Ini termasuk ulam-ulaman untuk nasi ulam.

Selain itu, Menteri Besar juga meminta PPNP membuka ladang herba di sekitar Ipoh. “Saya yakin PPNP boleh melaksanakannya. Saya bersetuju memberi sedikit peruntukan bagi menjayakan projek tanaman ulam-ulaman,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri telah melakukan beberapa reformasi dalam melaksanakan projek-projek pertanian dengan mengubah corak pertanian yang berskala kecil dan tidak ekonomik kepada berskala besar.

“Berasaskan model tersebut Kerajaan Negeri telah memperkenalkan tiga konsep ladang iaitu Ladang Rakyat, Ladang Perwira dan Ladang Peladang,’’ tambahnya.

Katanya, tanah-tanah yang dianugerah kepada mana-mana individu akan dicantumkan supaya menjadi sebuah ladang yang besar dan diuruskan secara sistematik supaya kos pengeluaran dapat dikurangkan.

Beliau menegaskan perlunya para petani mengubah sikap dengan menerima perubahan yang positif supaya projek pertanian tidak hanya untuk sara diri tetapi bagi tujuan komersial.


Beberapa Jenis Ulam Tradisional Malaysia

JENIS YANG POPULAR
  • Buluh (rebung) - Bambusa sp.
  • Cekur manis - Sauropus androgynus
  • Jering - Pithecellobium jiringa
  • Kacang kelisa - Psophocarpus tetragonolobus
  • Kaduk - Piper sarmentosum
  • Kerdas - Pithecellobium bubalinum
  • Kesum - Polygonum minus
  • Nangka (buah muda) - Artocarpus integra
  • Paku (pucuk) - Athyrium esculentum
  • Pegaga - Centella asiatica
  • Petai - Parkia speciosa
  • Pisang (jantung) - Musa sapientum
  • Selom - Oenanthe javanica
  • Terung pipit - Solanum torvum
  • Ubi kayu (pucuk) - Manihot esculenta
  • Ulam raja - Cosmos caudatus

2. JENIS YANG KURANG TERKENAL
  • Beluntas - Pluchea indica
  • Betik (pucuk) - Carica papaya
  • Cekur - Kaempferia galanga
  • Gajus (pucuk) - Annacardium occidentale
  • Geli-geli - Lasia spinosa
  • Kelor (daun) - Moringa oleifera
  • Kemahang - Colocasia esculenta
  • Keman - Neptunia prostrata
  • Keremak - Alternanthera triandra
  • Mengkudu (pucuk) - Morinda citrifolia
  • Pina-pina - Pterococcus corniculatus
  • Putat (pucuk) - Barringtonia racemosa
  • Paku rawan - Limnocharis flava
  • Salang - Claoxylon longifolium
  • Setang - Melia excelsa
  • Tapak itik - Marsilis minuta

No comments: